
Pusat kecemerlangan yang menawarkan program pendidikan berterusan kepada umum iaitu Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atau lebih dikenali SPACE UTM, menyambut ulang tahun penubuhan ke-30, baru-baru ini.
Dikenali sebagai peneraju pembelajaran sepanjang hayat, SPACE UTM mengorak langkah ke hadapan dalam konteks mod pembelajaran sepenuh dan separuh masa dalam bidang kejuruteraan, sains dan pengurusan serta membuka ruang luas kepada semua untuk meningkatkan kualiti kemahiran dan pendidikan yang dimiliki.
Pada awal penubuhan, tumpuan utama SPACE UTM hanya berteraskan pembangunan profesional dan peningkatan kerjaya, namun seiring permintaan tinggi terhadap pengajian secara separuh masa dalam kalangan masyarakat bekerjaya, pusat pembelajaran itu menawarkan program akademik secara separuh masa.
Sejarah pengoperasian
SPACE UTM bermula pada Julai 1993 di Pejabat Pendaftar, UTM Skudai, kemudian dipindahkan di Bangunan Pentadbiran UTM pada 1995.
Pada tahun sama, pejabat cawangan SPACE di UTM City Campus turut memulakan operasinya di Kuala Lumpur.
Operasi SPACE UTM seterusnya, berpindah ke Taman Universiti, Skudai pada 2000 dan beroperasi selama 17 tahun, manakala pada pertengahan Disember 2017, pengurusan utamanya berpindah dan ditempatkan di Bangunan T05 UTM Skudai sehingga kini.
SPACE UTM melalui tiga fasa penting sepanjang beroperasi. Bermula penubuhannya dan sehingga 2003, SPACE UTM memperkenalkan produk dan perkhidmatan pendidikannya kepada umum serta membuka pusat pembelajaran di seluruh negara.
Dalam tempoh itu juga SPACE UTM adalah entiti bagi menjana kewangan kepada UTM dan menjadi pusat pengajian separuh masa pertama di Malaysia yang ditawarkan pada sesi kemasukan akademik 1995/96. Lapan program iaitu tiga program diploma dan lima program ijazah sarjana muda ditawarkan.
Bagi sesi ambilan akademik 1996/97 pula, SPACE UTM dipertanggungjawabkan untuk mengurus Program Kerjasama UTM bersama kolej swasta, manakala pada 1998, ia bertindak sebagai urus setia bagi Program Pengajian Jarak Jauh.
Pada sesi akademik 1999/2000, pengstrukturan berlaku dalam urus tadbir akademik SPACE UTM. Program Diploma dan Sar- jana Muda bagi Pengajian Separuh Masa dan Program Pengajian Jarak Jauh diambil alih sepenuhnya SPACE UTM.
SPACE UTM mengorak langkah lebih jauh dan frasa ‘Memperkasakan Pendidikan Sepanjang Hayat’ begitu sinonim dengan SPACE UTM.
Bermula pada 2004, proses fasa peringkat kedua bagi SPACE UTM, dengan entiti di bawah UTM melihat banyak peluang berkaitan ilmu dan kemahiran ditawarkan kepada umum.
Dalam tempoh 10 tahun kedua penubuhan SPACE UTM, beberapa kejayaan dan pencapaian dicapai, sama ada peringkat nasional mahupun antarabangsa.
UTMSPACE Berhad ditubuh
Pada 28 Januari 2011, SPACE UTM melakar sejarah apabila UTMSPACE Berhad (UTMSPACE) ditubuhkan untuk mengurus tadbir pengoperasian dan kewangan SPACE UTM yang menawarkan program akademik.
Syarikat itu didaftarkan sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) yang dimiliki sepenuhnya oleh UTM.
UTMSPACE ditubuhkan bagi memfokuskan pengkomersialan dan urus tadbir kewangan serta aset bagi SPACE UTM dan UTMSPACE.
Pengkoperatan UTMSPACE mengubah momentum pengoperasian SPACE UTM secara menyeluruh.
Pelbagai sudut diterokai untuk memastikan matlamat UTM dicapai, dengan pelbagai strategi pemasaran dan pentadbiran dilaksanakan pada tahun berikutnya di bawah payung UTMSPACE bagi memastikan SPACE UTM dapat dipacu ke arah lebih baik.
Menerusi fasa ketiga yang bermula pada 2014, UTMSPACE mempelbagaikan fungsinya dalam bidang pendidikan dengan mewujudkan KOLEJ SPACE sebagai pusat pengajian tinggi swasta, selain turut membuka pusat pembelajarannya di Kota Bahru dan Kuching.
Ketika itu, SPACE UTM turut membuka peluang pendidikan bagi lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyertai Program Diploma UTM secara sepenuh masa dan separuh masa serta Program Asasi UTM.
Kedua-dua program itu sentiasa mendapat perhatian umum khususnya lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
Dengan trend yang sentiasa berubah, kompetensi daripada institusi pengajian yang banyak dan permintaan tinggi pendidikan SPACE UTM juga mula menawarkan program Ijazah Sarjana Muda secara permohonan terus, iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Am UTM (UTM Bachelor of General Studies (BGS) dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) (UTM Bachelor of Business Administration (International Business) secara sepenuh masa dan separuh masa.
Pembelajaran separuh masa
Uniknya, pembelajaran di SPACE UTM adalah satu-satunya institusi yang menawarkan pengajian kejuruteraan dalam mod separuh masa di Malaysia serta diiktiraf oleh badan profesional.
Sesi pembelajaran secara bersemuka dan secara dalam talian bagi kursus tertentu amat membantu dalam pelbagai aspek pembelajaran. Memandangkan keseluruhan pelajar SPACE UTM adalah golongan bekerjaya, waktu yang terhad, dimanfaatkan sebaik mungkin setiap sesi kuliah.
Namun, fasiliti pembelajaran yang serba lengkap boleh diakses di kampus induk Johor Bahru, mahupun cawangannya di Kuala Lumpur, sekali gus menjadi faktor utama ramai memilih UTM sebagai pilihan utama untuk mendalami bidang kejuruteraan, sains dan pengurusan.
Silibus pembelajaran sangat komprehensif dan inovatif dititikberatkan dalam sesi pengajian.
Terdapat 10 pusat pembelajaran diwujudkan di seluruh negara bagi kemudahan kepada pelajar untuk hadir ke kuliah. Dari Johor Bahru ke Kota Bahru hingga Kuching dan Kota Kinabalu, pusat pembelajaran ini memberi peluang kepada pelajar supaya lebih mudah hadir ke kuliah di cawangan pusat pembelajaran yang sedia ada sesuai dengan motto SPACE UTM, ‘Anyone, Anything, Anywhere, Anytime’.
30 tahun SPACE UTM
Sepanjang 30 tahun penubuhan SPACE UTM, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi mempromosi dan memperkasa pembelajaran sepanjang hayat kepada komuniti.
Sehingga kini, SPACE UTM menawarkan 110 program yang merangkumi pengajian sepenuh dan separuh masa.
SPACE UTM yang sudah melahirkan seramai 60,965 graduan dalam pelbagai bidang, yakin untuk menggerakkan misi memenuhi matlamat UTM, apatah lagi di bawah seliaan Ketua Pegawai Eksekutif, Prof Ts Dr Nazri Ali yang berdedikasi bagi memastikan operasi pusat pembelajaran itu terus cemerlang.
Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif UTMSPACE
Credit : Berita Harian